Khamis, Julai 12, 2012

Ramadhan Semakin Menghampiri, Tapi Kita Masih Tidak Peduli..

Assalamualaikum w.b.t...


byHilal Asyrafhttp://www.langitilahi.com/
Ramadhan semakin menghampiri.
Apakah ada antara kita yang mendengar ‘loceng-loceng’ yang menyatakannya?
Ramadhan semakin menghampiri, semakin mendekat, tetapi apakah persediaan kita? Ramai antara kita tidak peduli. Seakan-akan Ramadhan itu bukan sesuatu yang penting buat kita. Mengapa?
Kerana kita telah di’doktrin’ oleh suasana yang silap dalam melayani Ramadhan Yang Mulia.
Ramadhan Sebagai Bulan Susah Payah.
Didoktrin di dalam kehidupan kita, bahawa Ramadhan adalah bulan bersusah payah. Bulan kepenatan dan keletihan. Bulan di mana manusia perlu berlapar dan dahaga seakan tidak wujudnya makanan. Bulan yang dilihat sebagai tidak produktif, bulan yang melemahkan dan tidak punya apa-apa keistimewaan dari segi material.
Kita melalui Ramadhan, hanya dengan satu pancaran harapan – Lepas Ramadhan, akan datang Syawal.
Ya. Dengan itulah kita melalui Ramadhan. Menunggu untuk ‘dibebaskan’ dari segala keletihan dan kepenatan.
Jika perasan, kita didoktrin sedemikian.
Kerana itu, kehadiran Ramadhan bukan satu keistimewaan buat kebanyakan kita. Bukan sesuatu yang dinanti-nantikan buat kita. Tetapi adalah satu bebanan. Satu kesukaran. Satu kepayahan buat kita.


Sedangkan Itulah Bulan Yang Dirayakan.
Ramai yang tidak tahu, bahawa apa yang kita namakan sebagai ‘AidulFitri’ itu hakikatnya dirayakan sehari sahaja, yakni pada 1hb Syawal. Dan tidaklah pula ianya dirayakan pada 2hb Syawal, 3hb Syawal dan sehingga 30hb Syawal. Tidak. Hakikatnya, hari raya itu sehari sahaja. 2hb Syawal dan seterusnya, kita telah disunatkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.
Syawal hakikatnya bukan hari raya utama ummat Islam. Yang utamanya adalah ‘AidulAdha’, kerana ia dirayakan selama empat hari. 10hb, 11hb, 12hb, dan 13hb Zulhijjah. Haram berpuasa pada keempat-empat hari tersebut.
Ya. Sehari sahaja ‘AidulFitri’ hakikatnya. Namun masyarakat kita sakan merayakannya hingga ke hari 30hb Syawal. Bagai nak runtuh dunia kita rayakannya. Sedangkan, apakah itu ‘AidilFitri’? Maksudnya adalah Perayaan Fitrah. Mengapa dinamakan sedemikian?
Kerana ia adalah untuk merayakan mereka yang berjaya melalui tarbiyah, memproses diri di dalam Ramadhan Al-Mubarak. Yang membersihkan diri dan mensucikan diri mereka di dalam bulan itu. Yang mempertingkatkan diri serta menaikkan lagi kualiti hati mereka di dalam bulan itu.
Bukan kepada mereka yang pada 15hb Ramadhan, sudah sibuk hendak menyambut Syawal!
Yang diraikan hakikatnya adalah Ramadhan. AidulFitri meraikan itu. Kita hakikatnya bukan meraikan AidilFitri. Kerana AidilFitri itu hakikatnya tidak punya apa-apa, melainkan sekiranya kita melalui Ramadhan dengan jayanya!
 Mentaliti Yang Perlu Diubah.
Maka Ramadhan itu perlu kita tekankan pada diri dan keluarga, bahawa ianya adalah Bulan Rahmat, Bulan Keampunan, Bulan Peningkatan diri. Bulan di dalamnya wujud pelbagai fadhilat dan kelebihan. Bulan yang Allah SWT sediakan agar ummat Islam kembali mengecas keimanan masing-masing, memperkuatkan diri masing-masing.
Bulan yang hakikatnya merupakan ‘perayaan jiwa-jiwa’ kerana ianya memberikan makanan kepada mereka. Bulan untuk memperbanyakkan kebaikan, agar jiwa yang jauh menjadi kembali rapat kepada Tuhan.

Ya. Ramadhan inilah hakikatnya yang patut kita nampak sebagai ‘habuan’, ‘hadiah’, ‘anugerah’. Allah SWT memberikannya kepada kita. Dalam setahun, Allah SWT berikan kita sebulan untuk mempertingkatkan diri kita, memperkuatkan diri kita, dalam suasana yang kondusif, bersama ‘tambahan-tambahan’ yang mengiurkan.
Penutup: Maka Apakah Jiwa-jiwa Masih Tidak Mahu Memperdulikan?
Maka apakah jiwa-jiwa yang do’if lagi lemah, banyak kekurangan dan dosa ini, masih tidak mahu memperdulikan panggilan Tuhannya?
Apakah hamba yang hina ini, mahu melemparkan hadiah pemberian Tuhannya?
Sesungguhnya inilah dia hamba-hamba yang celaka.
Marilah kita muhasabah semula.
Jangan jadi hamba yang sombong dengan Dia.
Ramadhan menghampiri, dan kita masih tidak peduli.
Jangan.
Mari peduli. Persiapkan diri. Jadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali!






**Sharing ;)




sudi-sudilah klik sini ye..TQ..
 

2 ulasan:

Unknown berkata...

tak sabar nak tunggu ramadhan...

Unknown berkata...

yelah...aku pon x sabar tggu ramadhan ni..syahdu sgt